Sunday, December 4, 2011

Penyeksaan orang-orang Qurasy terhadap orang-orang Islam

Orang-orang Islam makin bertambah ramai dan mereka tidak lagi merahsiakan keimanan dan menyembunyikan kerja-kerja ibadah mereka. Sementara itu orang-orang Quraisy yang menolak seruan Islam makin bimbang dan mereka mencari jalan untuk menyekat seruan Rasulullah SAW.

Di antaranya meminta Abu Talib menasihatkan Rasulullah SAW supaya jangan mencela berhala-berhala mereka. Mereka juga meminta Abu Talib supaya menghalang Rasulullah SAW daripada menyampaikan seruan Islam dengan ugutan akan membinasakan baginda jika diteruskan seruannya. Tetapi usaha-usaha mereka itu gagal kerana Rasulullah SAW tetap tegas dengan perjuangannya dan Abu Talib pula memberi sokongan serta perlindungan kepada baginda.

Setelah gagal dengan usaha itu, orang-orang Quraisy mula menggunkan kekerasan. Mereka bukan sahaja memaki dan menghina Rasulullah SAW dan orang-orang Islam bahkan mereka mula melakukan penyeksaan dan kekejaman kepada orang-orang Islam terutamanya orang-orang yang lemah.

Di antara orang-orang Islam yang diseksa oleh orang-orang Quraisy ialah:

1- BILAL BIN RABBAH: beliau seorang hamba berbangsa Habsyi. Diseksa oleh tuannya Umaiyah bin Khalaf dengan diterlantangkan tubuhnya di atas pasir dalam cuaca panas terik dan diletakan batu besar di atas dadanya. Walaupun diseksa Bilal tetap dengan keimanannya.

2- YASIR dan keluarganya. Iaitu isterinya Sumaiyah dan anaknya Ammar bin Yasir, telah diseksa oleh tuannya sehingga mati. Kemudian apabila isterinya meraung kerana kematian beliau ditikam hingga mati oleh Abu Jahal dengan sebatang lembing.


3- Khabab bin al-Ars. Seorang hamba kepada wanita bernama Anmaar. Khabab diseksa dengan berbagai cara seperti disalar dengan besi panas.

Rasulullah SAW sendiri pernah dihina, apabila Umm Jamil isteri Abu Lahab melimparkan najis di hadapan rumah baginda dan manakala Abu Jahal pula melimpar keatasnya perut kambing biri-biri ketika baginda sedang sembahyang.

Semua penyeksaan dan penghinaan itu diterima dengan sabar oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda. Mereka tidak berganjak daripada beriman kepada Allah SWT. Mereka yakin bahawa Allah sentiasa menolong dan melindungi hamba-hambaNYa yang benar dan bersabar.