Tuesday, June 14, 2011

Penganut Islam Yang Terawal

Rasulullah e menyeru supaya beriman kepada Allah secara sulit bagi mengelak rasa terkejut orang-orang Arab terhadap kedatangan agama Islam, ini ialah kerana agama Islam membawa pengajaran kepercayaan yang sangat bertentangan dengan cara hidup dan pegangan orang-orang Arab pada masa itu.

Orang yang mula-mula diseru supaya beriman ialah isterinya Khadijah kemudian diikuti kaum kerabat dan sahabat-sahabat karib baginda.

Di antara mereka yang mula-mula menerima seruan Rasulullah e dan menerima Islam ialah Ali bin Abi Talib ( sepupu baginda yang masih dalam umur kanak-kanak), Abu Bakar as-Shiddik (sahabat karib) dan Zaid bin Harithah (hamba Khadijah).

Melalui sahabat baginda Abu Bakar as-Shiddik maka Islam pula sahabat-sahabat lain seperti Uthman bin Affan, az-Zubir bin Awwan, Saad bin Abi Waqas, Talhah bin Abdullah, Abdurrahaman bin Auf dan Arqam bin Abi al-Arqam.

Kemudian Abu Ubaidah al-Jarrah dan ramai lagi daripada penduduk Mekah telah memeluk Islam. Pada masa ini apabila seseorang itu memeluk Islam ia pergi berjumpa Rasulullah e menyatakan keislaman mereka dan menerima ajaran Islam daripada baginda.

Gerakan menyebarkan Islam secara sulit berjalan selama tiga tahun. Dalam tempoh itu Rasulullah e belum diperintahkan berdakwah secara terbuka kerana bimbang mendapat tentangan pembesar-pembesar Quraisy, orang-orang kaya dan ketua-ketua kabilah, kerana dipercayai sebahagian besar daripada mereka akan menolak agama Islam kerana bimbang kedudukan mereka akan tergugat.

Thursday, June 9, 2011

Seruan secara sulit

Setelah reda daripada rasa terkejut dan takut kerana menerima wahyu yang pertama itu, Nabi Muhammad menunggu-nunggu akan turunnya wahyu-wahyu yang berikutnya. Baginda merasa sungguhn ingin menerima ayat-ayat Quran yang seterusnya.

Tidak lama kemudian, ketika sedang tidur nyenyak, tiba-tiba badan baginda mengeletar berpeluh. Baginda sedar dari tidur lalu turun ayat-ayat al-Quran berikut, yang dibawa oleh Jibril iaitu:

يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ{1} قُمْ فَأَنذِرْ{2} وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ{3} وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ{4} وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ{5} وَلا تَمْنُن تَسْتَكْثِرُ{6} وَلِرَبِّكَ فَاصْبِرْ{7}

Maksudnya:

1. Wahai orang Yang berselimut! 2. bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). 3. dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! 4. dan pakaianmu, maka hendaklah Engkau bersihkan. 5. dan Segala kejahatan, maka hendaklah Engkau jauhi. 6. dan janganlah Engkau memberi (sesuatu, Dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya. 7. dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah Engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!

Dengan turunnya ayat ini maka terlantiklah Nabi Muhammad dengan resmi sebagai rasul uturan Allah dan diberi tugas menyampaikan perintah-perintah Allah kepada manusia.

Setelah itu mulalah rasulullah menjalankan tugasnya menyampaikan perintah-perintah Allah supaya menganut Agama Islam.

Pada peringkat awal baginda menyeru manusia secara rahsia dan sulit. Baginda mengajak kaum keluarga dan sahabat-sahabat rapat supaya beriman kepada Allah Yang Maha Esa dan menjauhi perbuatan maksiat, menyengutukan Allah dan menyembah patung berhala.