Tuesday, June 14, 2011

Penganut Islam Yang Terawal

Rasulullah e menyeru supaya beriman kepada Allah secara sulit bagi mengelak rasa terkejut orang-orang Arab terhadap kedatangan agama Islam, ini ialah kerana agama Islam membawa pengajaran kepercayaan yang sangat bertentangan dengan cara hidup dan pegangan orang-orang Arab pada masa itu.

Orang yang mula-mula diseru supaya beriman ialah isterinya Khadijah kemudian diikuti kaum kerabat dan sahabat-sahabat karib baginda.

Di antara mereka yang mula-mula menerima seruan Rasulullah e dan menerima Islam ialah Ali bin Abi Talib ( sepupu baginda yang masih dalam umur kanak-kanak), Abu Bakar as-Shiddik (sahabat karib) dan Zaid bin Harithah (hamba Khadijah).

Melalui sahabat baginda Abu Bakar as-Shiddik maka Islam pula sahabat-sahabat lain seperti Uthman bin Affan, az-Zubir bin Awwan, Saad bin Abi Waqas, Talhah bin Abdullah, Abdurrahaman bin Auf dan Arqam bin Abi al-Arqam.

Kemudian Abu Ubaidah al-Jarrah dan ramai lagi daripada penduduk Mekah telah memeluk Islam. Pada masa ini apabila seseorang itu memeluk Islam ia pergi berjumpa Rasulullah e menyatakan keislaman mereka dan menerima ajaran Islam daripada baginda.

Gerakan menyebarkan Islam secara sulit berjalan selama tiga tahun. Dalam tempoh itu Rasulullah e belum diperintahkan berdakwah secara terbuka kerana bimbang mendapat tentangan pembesar-pembesar Quraisy, orang-orang kaya dan ketua-ketua kabilah, kerana dipercayai sebahagian besar daripada mereka akan menolak agama Islam kerana bimbang kedudukan mereka akan tergugat.

No comments: